SEKAPUR SIRIH

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1 MALAYSIA

Selamat datang ke laman blog saya. Ini merupakan blog saya yang pertama. Syukur Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghasilkan blog ini walaupun tidak pernah membuatnya sebelum ini. Meskipun belum siap sepenuhnya tetapi saya sangat berpuas hati kerana ini adalah usaha saya sendiri dengan berpandukan cara-cara membina blog yang dipaparkan di Myguru dan merujuk berpandukan buku.

Sekalung terima kasih diucapkan kepada pensyarah yang dihormati, suami tersayang yang sentiasa memberikan sumber inspirasi dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan.

Blog ini lebih menjurus kepada mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 tentang LINUS. Saya juga menyertakan beberapa video tentang mari belajar membaca. Selain itu, diselitkan juga beberapa gambar-gambar mengenai aktiviti saya di SK.Babalitan.

Saya berharap blog ini dapat membantu rakan-rakan pendidik dalam perkongsian ilmu. Pembinaan blog ini akan menjadi perintis untuk menghasilkan blog yang berkualiti pada masa akan datang.

Sekian dan terima kasih.

Sunday, 4 December 2011

LINUS TEGAR

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.

Baiklah. Topik pada hari ini adalah berkaitan dengan murid LINUS TEGAR yang saya percaya membelengu reputasi sesebuah sekolah. Pelbagai andaian yang timbul dengan adanya murid kategori TEGAR ini, bermakna guru tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

Sebelum kita pergi lebih jauh, eloklah kita bincangkan sedikit mengenai murid LINUS TEGAR ini. Umum sedia maklum, lebih-lebih lagi guru yang mengajar murid kategori ini. Andaikan sehingga bulan Ogos 2011, murid masih belum melepasi konstruk 1 dan 2 sedangkan guru setiap hari memerah idea dan tenaga untuk memastikan murid ini melepasi konstruk 1 hingga 8. Malangnya, ada saki baki murid yang tertinggal akibat tidak melepasi konstruk 1 dan 2.

Bagaimana hal sedemikian boleh terjadi? Adakah guru terlepas pandang murid ini? Saya tidak berpuas hati apabila pelbagai tomahan dilemparkan kepada sesetengah guru LINUS apabila murid TEGAR masih ramai di sekolah berkenaan, guru tersebut didakwa tidak mengajar dengan bagus, guru tidak menjalankan tugas dengan baik, guru tidak buat ‘home work’ untuk kaji masalah murid dan macam-macam lagi.
Kasihan apabila mendengar ramai guru LINUS merungut bukan salah mereka. Kita jangan sesekali terlalu mudah menghukum guru tanpa memahami masalah yang dihadapi. Saya sendiri masih mempunyai murid TEGAR dalam kelas yang saya ajar sekarang. Adalah tidak adil sekiranya guru lain, pentadbir atau pegawai yang memantau mengatakan cikgu LINUS tak menjalankan tanggungjawab dengan baik tanpa mendengar luahan mereka. Janganlah bertanya soalan putar alam dengan bertujuan untuk mencari salah guru juga.
Sebagai penyelaras LINUS di sekolah, saya sendiri menghadapi masalah dengan murid LINUS TEGAR ini. Antaranya :
  1. murid kerap tidak hadir ke sekolah (rekod paling lama 4 bulan)
  2. murid daftar lewat (bulan 7 baru masuk sekolah atas sebab tertentu)
  3. masalah ibu bapa (gaduh depan anak-anak)
  4. masalah peribadi (gangguan seksual di rumah terhadap murid menyebabkan murid trauma ke sekolah dan fobia dengan ‘lelaki’)
  5. tidak ada kelengkapan asas pembelajaran yang cukup di rumah.
  6. ibu bapa bercerai / meninggal (murid dijaga oleh nenek yang uzur)
  7. bilangan murid yang ramai menyukarkan kawalan guru dalam kelas (bukan semua murid boleh dengar cakap, masing-masing ada perangai dan kerenah)
Tujuh perkara di atas adalah antara perkara biasa yang dilaporkan dan terjadi di sesetengah sekolah. Namun, saya percaya sekolah di pedalaman turut menghadapi masalah yang lebih serius.

CARI JALAN PENYELESAIAN SEGERA
Bagi murid yang menghadapi masalah tidak hadir untuk sesuatu tempoh yang lama tanpa sebab atau surat doktor, saya cadangkan kepada guru LINUS supaya meminta guru kelas terlibat menghantar surat amaran kepada ibu bapa  atau penjaga murid berkenaan. Satu salinan surat amaran ponteng sekolah tersebut hendaklah dimasukkan dalam fail LINUS.

Jika guru dapati murid menghadapi masalah kesihatan yang memungkinkan murid tersebut akan terus mengalami kegagalan jika terus belajar di kelas normal, sila kemukakan surat kepada penjaga untuk mendapatkan pengesahan dan laporan kesihatan daripada doktor.

Sertakan bersama surat tersebut hasil kerja murid untuk rujukan doktor. Mohon kepada ibu bapa supaya merujuk anak mereka dengan pakar kanak-kanak. Bukan dengan pembantu perubatan di klinik biasa. Pemeriksaan mungkin akan makan masa hampir sebulan (paling lambat).

Doktor akan menjalankan sekurang-kurangnya lapan (8) jenis ujian terhadap murid. Hasil keputusan akan diserahkan kepada penjaga dan guru perlu mendapatkan salinan surat tersebut. Jika murid itu memang bermasalah, doktor akan mencadangkan supaya murid tersebut ditempatkan di sekolah khas. Berdasarkan laporan doktor nanti, cikgu akan tahu apa yang perlu dilakukan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment