SEKAPUR SIRIH

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1 MALAYSIA

Selamat datang ke laman blog saya. Ini merupakan blog saya yang pertama. Syukur Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghasilkan blog ini walaupun tidak pernah membuatnya sebelum ini. Meskipun belum siap sepenuhnya tetapi saya sangat berpuas hati kerana ini adalah usaha saya sendiri dengan berpandukan cara-cara membina blog yang dipaparkan di Myguru dan merujuk berpandukan buku.

Sekalung terima kasih diucapkan kepada pensyarah yang dihormati, suami tersayang yang sentiasa memberikan sumber inspirasi dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan.

Blog ini lebih menjurus kepada mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 tentang LINUS. Saya juga menyertakan beberapa video tentang mari belajar membaca. Selain itu, diselitkan juga beberapa gambar-gambar mengenai aktiviti saya di SK.Babalitan.

Saya berharap blog ini dapat membantu rakan-rakan pendidik dalam perkongsian ilmu. Pembinaan blog ini akan menjadi perintis untuk menghasilkan blog yang berkualiti pada masa akan datang.

Sekian dan terima kasih.

Sunday 4 December 2011

KOLEKSI CERITA RAKYAT


TAJUK: SINGA DAN TIKUS

Pada suatu hari di sebuah hutan, seekor singa sedang nyenyak tidur. Tidak jauh dari situ, seekor tikus sedang bermain dengan rama-rama. Perbuatan tikus dan rama-rama itu telah mengganggu raja rimba.

Singa berasa amat marah dan ingin menyerang tikus. Tikus cuba melarikan diri. Tiba-tiba, tikus berkata, “Jika awak melepaskan saya, saya tidak akan melupakan jasa baik awak hingga ke akhir hayat.” Singa pun bersetuju dan melepaskan tikus itu.

Beberapa hari kemudian, singa mengaum sambil meronta-ronta. Singa terkena perangkap pemburu. Tikus datang dan memutuskan jaring dengan giginya. Singa berkata, “Kalau engkau tidak menolong aku, sudah tentu aku dibunuh oleh pemburu.” Sejak hari itu, mereka telah menjadi kawan baik.


Pengajaran dalam cerita ini ialah kita mestilah selalu menepati janji.


                                            


TAJUK: SANG MERBAH DAN SANG MURAI.

Pada suatu hari, seekor burung murai telah bertemu dengan seekor burung merbah. Pada ketika itu, Sang Merbah sedang membuat sarangnya. Sambil ketawa, Sang Murai berkata, “ Hai Sang Merbah! Aku sangat kasihan melihat keadaan kamu ini. Setiap masa kamu terpaksa bermandi peluh. Lihatlah aku ini. Hidup bebas terbang ke sana sini.”

Sang Merbah lalu berkata, “Tak apalah, wahai Sang Murai. Aku membuat sarang ini sebagai langkah berjaga-jaga. Lagipun, tidak lama lagi musim hujan akan tiba.”

Selang beberapa hari, Sang Murai datang lagi ke tempat Sang Merbah. Sang Murai terkejut melihat sebuah sarang yang cantik telah pun siap dibina. Kebetulan pada masa itu hujan turun dengan lebatnya. Sang Murai basah kuyup. Sang Merbah pula selesa berlindung di dalam sarangnya.

Lalu Sang Merbah berkata, “ Wahai Sang Murai, kalau kita ringan tulang, tentulah kita akan mendapat faedahnya. Sebaliknya jika kita berat tulang, diri sendiri yang akan rugi.” Sang Murai berasa sangat malu, lalu beredar dari situ.

Pengajaran dalam cerita ini ialah kita tidak boleh memandang rendah kebolehan orang lain.




TAJUK: PANDAI EMAS DAN PANDAI BESI

Dalam sebuah negeri, terdapat seorang pandai emas yang kaya dan seorang pandai besi. Malangnya, besinya tidak selaris emas yang dijual oleh pandai emas.

Pandai emas selalu memandang rendah terhadap pandai besi. “Besi tidak berguna. Emas lebih tinggi dan mahal harganya,” kata pandai emas.

Pada suatu malam, pencuri memasuki rumah pandai emas. Kesemua emasnya telah dicuri. Namun begitu, pandai emas tidak berputus asa. Dia terus bekerja keras. Akhirnya, dia berjaya mengumpulkan emas. 

Nasib malang menimpa pandai emas lagi. Pencuri masuk ke rumahnya dan mencuri kesemua emas yang dikumpulnya.
Pandai emas sungguh kecewa. Akhirnya, dia berjumpa dan mengadu kepada pandai besi. Pandai besi mencadangkan pandai emas membuat senjata bagi mengawal rumahnya. Pandai emas bersetuju. Dengan menggunakan senjata buatan pandai besi, akhirnya pencuri itu dapat ditangkap.

Kedua-dua mereka berasa gembira. Pandai emas dan pandai besi akhirnya menjadi rakan karib.

Pengajaran dalam cerita ini ialah kita tidak boleh memandang rendah kebolehan orang lain.

8 comments:

  1. Kaum apakah yang bertajuk "pandai emas dan pandai besi"?

    ReplyDelete
  2. Kaum apakah yang bertajuk "pandai emas dan pandai besi"?

    ReplyDelete
  3. Kaum apakah yang bertajuk "pandai emas dan pandai besi"?

    ReplyDelete
  4. Kaum apakah yang bertajuk "pandai emas dan pandai besi"?

    ReplyDelete